Isnin, 21 April 2014

Assign tamadun



                                                           
                  



1. Pengenalan
1.1 Definisi Budaya
Budaya yang dikonsepsikan oleh masyarakat selalunya meliputi hal-hal mengenai kesenian. Pengertian  budaya dalam pengajian anthropologi adalah suatu jalinan yang kompleks. Pelakuan manusia yang dipelajari (learned behavior) adalah menjadi asas kepada pertumbuhan budaya. Perlakuan-perlakuan manusia yang diterima dari proses pemelajaran terjalin dalam suatu sistem yang tersusun rapi,iaitu merupakan budaya. Manusia dibezakan daripada haiwan kerana manusia mempunyai budaya dan tamadunnya yang tersendiri. Manusia dapat menggunakan akal fikiran dan peralatan. Proses  pemelajaran  manusia dapat menentukan corak budayanya. Ilmu pemgetahuannya bersifat akumulatif, mampu memahami lambang-lambang yang simbolis seperti bahasa.Sistem pembahagian manusia adalah lebih kompleks daripada haiwan.

Pelbagai definisi yang boleh digunakan untuk menggambarkan budaya. Menurut E.B. Tylor budaya adalah merujuk kepada perkembangan dan pencapaian ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang dan adat resam. Malinowsky mendefinisikan budaya sebagai suatu tindak balas terhadap keperluan manusia. Maka jelaslah bahawa budaya merupakan keseluruhan aspek kemanusiaan yang merangkumi aspek sejarah, kesusasteraan, institusi politik, muzik, lukisan, falsafah dan agama atau kepercayaan. Secara umum cara dan gaya hidup sesebuah masyarakat dan bangsa adalah budaya. Ia meliputi semua aktiviti harian manusia.

 Budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang dikongsi bersama yang merangkumi nilai-nilai, kepercayaan dan pantang-larang yang dipancarkan dalam sebuah masyarakat daripada satu generasi ke generasi yang lain.  Dalam membincangkan budaya kita seharusnya prihatin terhadap ciri-ciri yang mencorakkan budaya. Ferraro (2006) menyenaraikan lapan ciri-ciri budaya tersebut adalah :
1)      Budaya dikongsi
2)      Budaya dipelajari
3)      Budaya “tidak kelihatan”
4)      Budaya mempengaruhi proses-proses biologi.
5)      Budaya saling berubah
6)      Kesejagatan budaya
7)      Budaya adaptif dan maladaptive
8)      Budaya bersifat integrative.
Budaya dikongsi bermaksud ahli-ahli masyarakat yang berkongsi sesuatu budaya masing-masing tentang maksud sesuatu objek, idea atau kelakuan dalam konteks budaya.Contohnya masyarakat Melayu mengamalkan adab bersopan-santun ketika menziarahi rumah sandara-mara atau sahabat-handai. Sebelum masuk ke dalam rumah pasti memberi salam terlebih dahulu dan menghulurkan tangan untuk bersalam-salaman.
Budaya dipelajari pula ketika kita berinteraksi dengan persekitaran sosial melalui proses enkulturasi. Budaya ini juga dapat membantu dalam menangani cabaran-cabaran kehidupan yang akan kita lalui.Contohnya kanak-kanak mempelajari menangani masalah daripada ibu bapa dan rakan “senior-senior” mereka. Budaya tidak kelihatan sebenarnya sudah sebati dengan jiwa kita sebagai insan sosial sehingga “tidak kelihatan”.Budaya sentiasa mempengaruhi tindak-tanduk dan pemikiran dan seterusnya ciri-ciri budaya yang lain.

1.2. Definisi Masyarakat
Pengkaji anthropologi dan sosiologi banyak memberikan pengertian tentang masyarakat.  Segala pengertian yang dibincangkan itu adalah benar melihat kepada sudut pandangan masing-masing. Masyarakat juga merupakan kelompok individu.Secara umum, masyarakat itu dapat difahamkan sebagai satu kesatuan kelompok manusia yang mempunyai interaksi dalam sistem hidup yang tertentu.Pengertian masyarakat sangat luas dan boleh dilihat dari berbagai-bagai sudut.

1.3Definisi Tamadun
Menurut Ibrahim Anis et al. (1960), perkataan tamadun adalah kata terbitan daripada kata kerja maddana yang bererti pemilihan lokasi sebagai tempat tinggal dan membangunkan sesuatu kawasan sehingga menjadi suatu perbandaraan. Manakala Ibrahim Mustafa et al. (1989) memberi erti yang sedikit berbeza iaitu hidup dalam suasana kehidupan orang bandar dan menikmati kehidupan yang maju. Perkataan tamadun mengikut Ibn khaldun ialah Kemuncak pembangunan yang berkait dengan peningkatan kemewahan, keindahan suasana dan minat kepada pelbagai aspek industri yang boleh mempertingkatkan kualitinya. Dari sudut etimologi perkataan tamadun berasal daripada perkataan maddana dalam bahasa Arab yang bermaksud pembukaan bandar atau kota serta perbuatan memperhalus budi perkerti. Daripada perkataan maddana maka lahirnya perkataan madani yang membawa maksud pembangunan perbandaraan serta kehalusan budi perkerti yang terpuji. Istilah tamadun berasal daripada bahasa Arab iaitu tamaddun. Selain daripada itu, terminologi yang sering disamakan dengan tamadun ialah Hadharah, Umran dan Madaniyyah atau sinonim dalam bahasa Inggeris civilization. Semua istilah tersebut bererti maju atau mencapai kemajuan.

2.Fungsi Fungsi Budaya

Konsep budaya merangkumi perkara-perkara seperti tarian, muzik, adat resam dan sebagainya tetapi konsep budaya dalam antropologi merangkumi lebih daripada perkara-perkara di atas. Salah satu definisi budaya yang dianggap klasik dan diguna pakai secara sejagat oleh sarjana-sarjana antropologi. Antropologis E.B tylor berpendapat bahawa “Culture...is that complex whole which includes knowledge, belief, arts, morals, laws, custom and any other capabilities and habits acguired  by man as a member of society.”Penyataan ini bermaksud budaya merujuk kepada suatu keseluruhan yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, tatasusila serta sebarang kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari oleh manusia sebagai ahli sebuah masyarakat.

Definisi Tylor ini bertumpu kepada sifat-sifat yang diperolehi oleh manusia hasil di dalam  masyarakat di mana mereka telah didedahkan kepada tradisi budaya tertentu.  Melalui proses pembudayaan (enculturation) manusia mempelajari tentang peranannya dalam masyarakat sebagai insan sosial. Adalah penting untuk kita memahami bahawa proses ini bukanlah proses biologi di mana budaya itu diturunkan dari generasi ke generasi secara genetik. Hakikatnya budaya itu dipelajari melalui interaksi sosial antara ahli-ahli masyarakat. Untuk tujuan perbincangan kita, definisi budaya yang paling sesuai digunakan adalah seperti berikut:

Budaya itu satu cara hidup yang dikongsi bersama yang merangkumi nilai-nilai, kepercayaan dan pantang larang yang diperturunkan dalam sesebuah masyarakat daripada satu generasi ke generasi melalui proses pembudayaan. Istilah budaya secara amnya (culture) memberi maksud cara hidup manusia. Budaya juga dilihat sebagai satu proses perkembangan sahsiah, akal, semangat  dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok.Perkara ini dapat dilihat melalui etimologi perkataan “budaya” yang bermaksud “budi + budaya” iaitu budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai.Daya pula merupakan aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan.

Budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk samada yang dapat dilihat atau tidak. Budaya juga boleh membawa maksud cara hidup sesebuah masyarakat. Budaya juga membawa maksud tamadun, peradaban dan kemajuan. Mengikut Moderm dictionary of socislogy mentafsirkan budaya  sebagai cara hidup manusia yang hidup berkelompok samada yang berbentuk material (ciptaan manusia) atau bukan material seperti adat resam, kepercayaan ,undang-undang dan sebagainya. Edward.D.Taylor (tahun 1954) pula menerangkan budaya sebagai satu himpunan pengetahuan, kesenian ,adat resam dan kemahiran yang diamalkan dan dimiliki oleh manusia dalam sesuatu masyarakat.

Fungsi budaya mempunyai pengertiannya tersendiri. Para pengkaji anthropologi berusaha memberi pengertian  lebih mendalam mengenai pendekatan fungsi ini,iaitu cuba menerangkan bahawa setiap unsur budaya itu mempunyai guna,fungsi dan maknanya tersendiri dalam masyarakat.Kita sedia memaklumi bahawa di Malaysia kita tidak hanya mempunyai satu bangsa tetapi bangsa-bangsa di dalamnya bercampur atau pun dalam istilah masyarakat majmuk. Fungsi budaya sebagai perlambangan identiti dan keperibadian mereka yang tersendiri. Kepelbagaian budaya di dalam masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing mampu disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi. Melalui kepelbagaian budaya juga dapat membentuk peribadi nasional. Fungsi budaya dalam pengajian akademik menerangkan hubungan variable antara satu sama lain dan fungsi budaya juga selalu digunakan seharian dan mudah difahami.

Aspek budaya memjadi teras kepada pembentukan identiti sosial dan mudah difahami melalui pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada 1971.Dasar ini diputuskan melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Ke dua ,Tun Abdul Razak dan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari setiap kaum di Malaysia. Justeru melalui kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memang digagaskan dapat mengungkap aspek budaya yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional.
Fungsi budaya juga sebagai alat perpaduan antara kaum di Malaysia. Perpaduan  yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan menganggap kita adalah rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia yang mempunyai kebudayaan nasional. Keadaan ini akan dapat mewujudkan suasana negara yang aman damai , harmoni, selesa, keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara. Rakyat perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan kebudayaan dan saling hormat-menghormati akan menjamin kesejahteraan dan memberi  perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat akan dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara.
Setiap kaum di Malaysia bebas mengamal dan menganuti agama, budaya dan adat resam masing-masing di samping kaum yang lain perlu menghormati. Nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan saling mempercayai perlu wujud di kalangan rakyat negara ini.Fikiran dan tindakan perlu mengatakan bahawa kita adalah rakyat Malaysia, bangsa Malaysia dan bertekad untuk bersama membangun dan memajukan negara di samping sedia mempertahankan negara daripada sebarang ancaman. Konsep 1 Malaysia merupakan titik-tolak sebagai alat perpaduan antara kaum di Malaysia.

3.Kepelbagaian budaya di Malaysia dan contoh-contoh


Malaysia merupakan sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada berbilang bangsa dan kaum. Tiga kaum utama , iaitu Melayu, Cina, India dan kaum-kaum peribumi yang lain. Walaupun demikian terdapat   ratusan ribu peribumi Iban, Dayak, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain lagi di Sarawak dan Sabah yang masing-masing mempunyai tradisi, budaya dan malah agamanya yang berbeza dengan Melayu, Banjar, Arab, Jawa, Minangkabau, Mandahiling, Kampar, Aceh, Patani dan sebagainya.

Meskipun masyarakat Malaysia berbilang bangsa dan mempunyai latar belakang yang berbeza, namun masyarakat Malaysia boleh hidup bersatu padu dengan aman dan damai tanpa ada peperangaan. Sudah 54 tahun kita merdeka daripada penjajahan kuasa asing dan masyarakat Malaysia terus berusaha mengeratkan perpaduan dan menjadikan budaya sebagai alat perpaduan dan menghormati budaya kaum lain tanpa ada prasangka demi memajukan negara dan kestabilan ekonomi.

Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah. Budaya dan masyarakat itu didapati berbagai-bagai ,diversity dalam divensi masa dan ruang. Oleh kerana terdapat diversiti dalam budaya itu maka didapati pelbagai usaha untuk menklafikasikan misalnya seperti “barat” dan “timur”, “primitif” dan “moden”,“tradisi” dan “moden”.

Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang bersifat majmuk dan pelbagai.Ia juga disebut masyarakat Jawi,iaitu mempunyai pelbagai latar belakang, maka setiap bangsa atau ras di dalam system sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain.Budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu. Kepelbagaian budaya di Malaysia dapat dikategorikan kepada:
                                i.            Keagamaan
                              ii.            Pakaian
                            iii.            Perayaan
                            iv.            Makanan
                              v.            Seni bela diri
                            vi.            Tarian
                          vii.            Adat Pertunangan
                        viii.            Adat Perkahwinan
                            ix.            Adat menyambut kelahiran
                              x.            Upacara kematian
                            xi.            Perubatan
               
Budaya menjadi alat perpaduan kaum di Malaysia.Kita seharusnya mengetahui
 aspek budaya yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia.Oleh dengan itu kita akan melihat aspek budaya yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu,Cina dan India. Mengikut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) ,Cetakan Kesembilan (1993), ‘Kaum’ bermaksud golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa. Kaum juga boleh diiktiraf sebagai bangsa dengan lain perkataan.
3.1 Masyarakat Melayu
Masyarakat Melayu dan penganut agama Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat Islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 syawal di mana Hari Raya Aidilfitri dirayakan. Hari Raya Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran dan pelbagai juadah disediakan bagi meraikan tetamu yang hadir sebagai tanda kesyukuran kepada Allah (s.w.t) kerana telah memberi kerahmatan kepada umat Islam. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung. Amalan ini dapat menyatukan umat islam, saudara-mara ,sahabat-handai,dan juga masyarakat yang lain untuk bersama-sama menyambut hari raya.Selain daripada itu apa yang ingin saya paparkan adalah budaya dan adat perkahwinan .Adat perkahwinan orang melayu terdapat beberapa peringkat iaitu:
*   Merisik
*   Meminang
*   Bertunang
*   Akad Nikah
*   Berinai
*   Perkahwinan
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok.Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Pada kelazimannya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.Adakala semasa merisik ,Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanda, berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan.Perbincangan akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.Seterusnya  majlis pertunangan akan dilangsungkan manakala pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pihak lelaki akan menghantar hantaran yang terdiri daripada sirih junjung atau tepak sirih sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.Pada kebiasaannya berbalas pantum sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak.
Wakil pihak lelaki akan menyarung cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis yang dilamar .Ini merupakan acara kemuncak majlis pertunangan. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut. Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari inilah pengantin digelar raja sehari.
3.2 Masyarakat Cina
Masyarakat keturunan Cina itu juga mempunyai suku-suku Hakka, Hailam, Kantonis,dan sebagainya manakala dalam masyarakat India terdiri daripada Tamil, Jaffna, dan keturunan Pakistan, Sikh, Bangladesh. Boleh dikatakan Malaysia ini terdiri daripada aneka warna kelompok dan keturunan manusia. Setiap kelompok memiliki dialek, adat kebiasaan, nilai-nilai dan kepercayaan agama yang tersendiri, ada beragama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikhism, dan Animism.

Masyarakat cina di Malaysia juga seperti masyarakat yang lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya sendiri. Budaya kaum cina di Malaysia ialah warisan daripada Negara China. Proses kemasukan besar-besaran kaum cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke 19 dahulu secara tidak langsung telah membawa sekali adat-istiadat mereka.”Feng Shui” merupakan suatu bentuk adat dan petua untuk kehidupan mereka dan pengaruhnya masih menebal di kalangan mereka pada hari ini. Masyarakat Cina juga mementingkan nasab keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Dr. Chan Chee Tiong Prof. Wang Chiah Wee, nama pangkal mereka iaitu Chan dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah sebelah lelaki.Kaum Lelaki cina merupakan pewaris harta pusaka. Secara tradisi, perkahwinan masyarakat cina akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik yang dikendalikan oleh seorang perantara sehinggalah ke upacara perkahwinan. Namun, pada zaman teknologi dan serba moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan mengadakan majlis keraian di restoran atau di hotel bagi yang berkemampuan.

Adat dan pantang larang ketika melahirkan anak sangat dititikberatkan oleh kaum cina. Si ibu digalakkan tidur dan menjaga pemakanan ketika hamil, meluangkan masa membaca buku yang mempunyai mesej yang baik dan melihat benda-benda yang cantik dan hindar daripada melihat gambar-gambar yang tidak elok. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dengan sebaik yang mungkin dan akan dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu terus dibuang ke dalam sungai. Anak itu diharap akan menjadi seorang yang berani  pada masa hayatnya di atas muka bumi ini. Setelah sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah sekali. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran.
Kematian ibu bapa adalah sangat menyedihkan baik kaum Melayu,Cina dan India Masyarakat Cina adalah upacara yang amat berharga dan kos pengkebumian adalah mahal.Kosnya pula terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Masyarakat Cina menganggap inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan.Anak lelaki juga bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik.

Keranda tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang .Si mati akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil.Upacara pengkebumian adalah acara yang amat meriah dalam masyarakat cina dan dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Sebelum upacara ini dijalankan seorang sami akan mengetuai sepertimana yang diamanahkan oleh keluarga si mati. Masyarakat cina menanggap kematian ini terlalu penting, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian.

Masyarakat Cina mempunyai banyak perayaan yang diikuti dan diraikan sepanjang tahun. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian negeri China. Upacara-upacara yang diraikan ialah:
Ø  Tahun Baru Cina
Ø  Chap Goh Meh
Selain daripada itu terdapat upacara:
*      Adat ulang tahun kematian
*      Adat Puja Kampung
*      Adat mencuci kubur
*      Sembahyang Hajat
*      Menjamu Keramat
3.3 Masyarakat India
 Kaum India juga bukanlah penduduk asal Malaysia . Kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama. Kemasukan itu samada suatu bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki. Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15. Masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan kaum India sudah pasti membawa budaya dan adat istiadat mereka yang tersendiri.Baik sekarang kita akan lihat pengaruh budaya India pada masyarakat Malaysia. Pakaian Tradisional kaum India pula pada kelazimannya dhoti dan sari. Dhoti merupakan pakaian putih yang dipakai oleh kaum lelaki manakala kaum wanita pula memakai sari, iaitu sehelai kain panjang yang dililit mengelilingi badannya.
Perayaan Deepavali merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai “Pesta Cahaya”. Masyarakat India meraikan perayaan Deepavali dengan penuh warna-warni. Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali. Menurut lagenda kaum India, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta supaya semua manusia  meraikan hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada melakukan kejahatan sesama manusia.
Kaum India juga mempunyai sikap hormat-menghormati dan mengamalkan adat bertegur sapa sesama sendiri. Kaum India menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka. Apabila tetamu yang dating bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi dan gembira menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Masyarakat India juga menggunakan tangan kanan apabila menerima sesuatu daripada orang lain sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran. Masyarakat India biasanya mengikuti adat resam yang berteraskan agama Hindu meskipun ramai orang India pada hari ini beragama lain.  Kaum India juga mempunyai budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga seperti juga kaum-kaum lain di Malaysia. Didalam masyarakat India, jika kita ingin berkunjung ke rumah tetamu, mereka amatlah digalakkan membawa buah tangan seperti buah-buahan,kuih-muih dan sebagainya sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka juga biasanya melangkah ke dalam rumah dengan kaki kanan dahulu.
Bagi masyarakat India,mereka mempunyai konsep kelahiran semula,iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun semula selepas tidur.Sarjana India juga berpendapat bahawa kematian adalah perpisahan roh dan jasad, di mana jasad akan hancur, tetapi kembali ke alam barzakh . Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan manakala masyarakat melayu mayat akan dikebumikan di tanah perkuburan. Bagi melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.
Semasa Kematian
Apabila  seseorang itu telah meninggal dunia, mayat tersebut akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dan dinyalakan. Mereka akan meletakkkan sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang.Si mati perlu dijaga dengan sebaiknya manakala kaki dan tangan mayat diluruskan,ibu jari tangan dan kaki diikat dengan kain putih dan diletakkan ke dada si mati. Mata dan mulut mayat juga perlu ditutup rapat dan tidak dibiarkan ternganga . Setelah itu barulah si mati dibalut dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi si mati. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya mayat itu tidak berbau.  Gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu sebagai tanda menunjukkan kesedihan. Mengikut kepercayaan, roh si mati sentisa tenang dan aman apabila lagu-lagu suci seperti  teevaaram, tiruvaasakam  dan seumpamanya dinyanyikan serta dimainkan sehingga ke tanah perkuburan.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari perigi,sungai, atau sumber-sumber lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air yang bersih akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita India  akan menyambut air yang bersih itu yang akan digunakan untuk memandikan mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti oleh saudara mara yang  terdekat dengan si mati. Sapuan minyak ini bukan menggunakan tapak tangan tetapi menggunakan belakang tapak tangan. Seterusnya mayat dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan manakala dhoti bagi mayat lelaki. Mayat yang sudah dibersihkan itu akan diletakkan di ruang tamu sebagai langkah menghormati tetamu.

4. Budaya Yang Dikongsi Oleh Rakyat Malaysia

Satu ciri penting dan unik dalam negara Malaysia ialah institusi Raja Berperlembagaan. Raja Berperlembagaan bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut  peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan nasihat Perdana Menteri. Semua kaum di Malaysia walau apa pun penganut agamanya hendaklah mematuhi dan memahami raja berpelembagaan. Semasa menjalankan tugasnya, baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali dalam perkara tertentu yang memerlukan budi bicara baginda untuk membuat keputusan.Yang di-Pertuan Agong dipilah daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri Melayu secara bergilir-gilir. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

Rakyat Malaysia hendaklah menghormati jalur gemilang (bendera Negara Malaysia) yang melambangkan Negara yang bebas dan berdaulat.Jalur gemilang perlu disanjung dan dihormati oleh segenap masyarakat.Setiap warna pada Jalur Gemilang membawa maksud tertentu iaitu merah menunjukkan keberanian,biru merupakan perpaduan dan kuning ialah lambang diraja manakala putih ialah kesucian dan kebersihan.

Budaya dan berpakaian perlulah bersesuaian dengan situasi,tempat dan upacara. Pakaian mestilah kemas dan bersih.Masyarakat Malaysia menghormati budaya kaum lain juga melalui pakaian di mana kita dapati kaum Cina dan India memakai baju kurung dan baju Melayu semasa upacara rasmi.Adab berziarah semua kaum iaitu memaklumkan kepada tuan rumah sebelum dating menziarah,memberi salam sebelum masuk ke rumah atau bilik.Bersalam-salaman dan membawa buah tangan merupakan budaya yang boleh dikongsi oleh semua kaum.Menjaga pertuturan dan tingkah laku adalah amalan yang baik bagi semua kaum.Tolong-menolong sesama kaum adalah merupakan aset penting bagi sesuatu negara.Meraikan perayaan kaum lain dan disambutnya oleh rakyat Malaysia sepertimana diamalkan merupakan budaya yang dapat dikongsi bersama.

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara. Maka semua rakyat Malaysia akan berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha mereka untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

·         Kepercayaan kepada Tuhan

·         Kesetiaan kepada Raja dan Negara

  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

 

 

 

KESIMPULAN

Semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri demografi seperti negeri,daerah,kaum,agama dan budaya wajar dihindari bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan Negara secara bersama.Sebagai rumusan, kepelbagaian kaum di Malaysia dapat mewujudkan pelbagai budaya dan seterusnya melahirkan suasana yang harmoni dan unik. Perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat majmuk serta mengikut agama dan kepercayaan masing-masing mencorakkan lagi kepelbagaian budaya di Malaysia. Melalui perayaan-perayaan seumpama ini kita boleh mengenali identiti dan budaya sesuatu kaum yang terdapat di negara kita.Konsep satu Malaysia yang  diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri adalah langkah yang amat bertepatan dengan masyarakat majmuk. Suasana dan citarasa yang bersatupadu dapat menghindar negara daripada pepecahan. Kepelbagaian budaya di dalam masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing ini mampu disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi dan identiti kepelbagaian itu secara menyeluruh dan bersifat nasional.

(4010 PATAH PERKATAAN )





RUJUKAN / REFERENSI
A.Aziz Deraman, 2001, Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia (Edisi Baharu),K.Lumpur,DBP.

Anwar Din(Penyunting), 2008, .Asas Kebudayaan Dan Kesenian Melayu,Bangi,Penerbit UKM.

Gullick. J , 1981, Malaysia:Economic Expansion and National Unity, ,London,Westview Press.

Hanapi Dollah,1986, Asimilasi Budaya:Kajian Kes Komuniti Cina Di Kelantan,Bangi,
Penerbit UKM.

M.Rajantheran & S.Manimaran,1994, Perayaan Dan Keraian Orang India,K.Lumpur,
Fajar Bakti.

Mohd. Taib Osman, 1983, Bunga Rampai Kebudayaan Melayu,K.Lumpur,DBP.
Prof Dr Mohamed Yusoff Ismail & Prof Madya Hazidi Abdul Hamid, 2011, Masyarakat dan Tamadun,K.Limpur,Penerbit Open Universiti Malaysia.
.
Wan Abd. Kadir Yusoff & Zainal Abidi Borhan, 1985, Idealogi dan Kebudayaan Kebangsaan, K.Lumpur, Jab. Pengajian Melayu,UMalaya.

Wan Ramli Wan Muhd & Hanapi Dollah, 1999, Pantang Larang Orang Melayu Tradisional, K.Lumpur.Utusan Publications.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan