SYARAHAN - DADAH MUSUH NEGARA
Yang saya Muliakan Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Puan Syuhada Binti
Ismail,Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Merah,Yang Dihormati Puan Rohani Binti Abdullah,Guru
Penolong Kanan,Puan Aisyah Binti Ghani,Guru Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid,barisan panel hakim yang sentiasa berteraskan panji-panji
keadilan,guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian.
Assalamualaikum
dan selamat pagi saya ucapkan.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan
limpah kurnianya serta keizinanNya dapat saya berdiri di sini bagi menyampaikan
syarahan saya dalam suasana yang sakinah pada pagi ini.Saya,Nur Humaira dari
Tingkatan Lima Ceria telah memilih tajuk 'Dadah Musuh Negara'.Tajuk syarahan
saya pada pagi ini sangatlah bersesuaian dengan isu penyalahgunaan dadah yang
tidak berkesudahan dan semakin banyak menghiasi lembaran akhbar pada masa ini.
Hadirin
yang saya muliakan,
Pada abad ke-21 ini,Malaysia merupakan negara yang
pesat membangun dan bersedia menongkah arus pemodenan dalam dunia maju
ini.Kini,Malaysia sangat terkenal pada mata dunia malah mampu berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain yang telah turut mengukir nama
pada mata dunia.Namun,di sebalik kegemilangan ini,masyarakat Malaysia masih
dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan
masyarakat Malaysia iaitu penyalahgunaan dadah.Persatuan Mencegah Dadah
Malaysia (PEMADAM) telah mencatatkan bahawa dari tahun 1988 sehingga tahun 2005
terdapat seramai 289,763 orang penagih dadah.Bilangan tersebut sudah pasti
membimbangkan banyak pihak.
Menurut Kamus Dewan,Edisi Keempat,dadah boleh ditakrifkan
sebagai ubat-ubatan atau bahan seperti ganja,heroin,marijuana,dan
sebagainya yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang yang
menggunakannya.Dari segi perspektif Islam pula,dadah dikategorikan sebagai
sejenis khamar.Khamar merupakan istilah yang digunakan di dalam kitab suci
Al-Quran yang membawa maksud arak.Dadah dianggap sebagai khamar kerana fungsi
kedua-duanya yang boleh menyebabkan kemabukan atau menjejaskan kewarasan akal
fikiran.Apabila berbicara mengenai isu penyalahgunaan dadah,kenyataan yang
pahit untuk diterima adalah hakikat bahawa remaja merupakan antara golongan
yang terjerumus ke dalam gejala ini.Sememangnya dadah wajar dikatakan sebagai
musuh negara kerana dadah mampu mengheret remaja ke kancah penghinaan dan
kehancuran sekaligus meranapkan masa depan negara yang mempertaruhkan nasibnya
di tangan remaja.Tidak dinafikan,pelbagai usaha telah diambil bagi membendung
masalah yang bersifat global ini.Namun begitu,sehingga kini gendang kemenangan
masih belum kedengaran. Persoalannya,pernahkah kita renungkan nasib bangsa pada
masa akan datang sekiranya masalah ini berlanjutan tanpa titik noktahnya?
Hadirin
sekalian,
Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa dadah mengundang banyak kesan
negatif kepada individu yang menyalahgunakannya.Perubahan yang ketara dapat
dilihat dari segi fizikal penagih dadah.Dadah akan bertindak mengubah fungsi
biologi pada sistem tubuh seseorang.Misalnya,individu yang ketagihan dadah akan
menghadapi masalah pernafasan iaitu kadar pernafasan akan menjadi pendek dan
perlahan.Justeru,keadaan ini secara langsung akan menjejaskan bekalan oksigen
kepada sel-sel di dalam badan.Selain itu,sistem saraf,jantung,metabolisme,dan
otot-otot badan turut terjejas dengan pengambilan dadah yang berterusan.Kadar
degupan jantung akan berkurangan malah tubuh penagih dadah akan menggigil
akibat penurunan kadar metabolisme.Otot-otot badan penagih dadah juga akan
mengecut dan akhirnya menyebabkan tubuh menjadi lesu dan tidak bermaya.Individu
yang menghambakan diri kepada najis dadah mempunyai risiko yang sangat tinggi
menghidap penyakit seperti meningitis,tetanus,endokarditis,AIDS,dan Hepatitis
B.Secara keseluruhannya,tubuh badan seseorang yang menagih dadah akan mengalami
implikasi yang sangat teruk akibat daripada perbuatan individu itu sendiri.Hal
ini sangat bertentangan dengan perintah Allah S.W.T. dalam Surah
Al-Baqarah,ayat 195 yang bermaksud,"Janganlah kamu lemparkan diri ke dalam
kebinasaan dan berbuat baiklah.Sesungguhnya,Allah S.W.T. mengasihi orang-orang
yang berbuat baik".Dalil ini jelas menunjukkan pengharaman ke atas manusia
menganiayai dan melakukan sesuatu perkara yang membawa kebinasaan kepada tubuh
badan mereka sendiri.Justeru,setiap individu wajib menjauhi dadah untuk
kebaikan diri mereka sendiri.
Keadaan mental dan emosi turut menerima kesan negatif akibat penyalahgunaan
dadah.Kesan ke atas mental dan emosi lazimnya dikenali sebagai kesan
psikologi,iaitu kesan pengaruh dadah pada otak dan minda.Ini termasuklah rasa
seronok dan khayal atau euforia yang dialami penagih dadah.Mereka seakan-akan
tidak berpijjak di alam nyata.Pada masa yang sama,sesesorang itu akan hilang
kawalan diri dan pemikiran.Perwatakan seseorang penagih dadah turut akan
berubah.Mereka juga tidak akan berasa segan silu untuk melakukan perkara yang
aib serta tidak mempunyai rasa tanggungjawab.Mereka akan terus berada dalam
keadaan yang sebegini selagi dadah masih terdapat di dalam badan mereka.Malah
semakin lama seseorang itu menagih dadah,lebih banyak pula jumlah dadah yang
diperlukan untuk mendapatkan kesan euforia.Fenomena ini disebut sebagai toleran
atau keadaan lali yang mana kesan euforia daripada dadah berkurangan apabila
digunakan secara berulangkali.Inilah yang menyebabkan seseorang itu tidak putus
mencari dan meningkatkan penggunaan dadah.Sekiranya bekalan dadah tidak
diperoleh,mereka akan berasa gelisah,tidak dapat memberi tumpuan,dan amat
menderita.Mereka cenderung untuk bertindak ganas dan hilang kawalan
diri.Natijahnya,mereka boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan
tatasusila dan peradaban masyarakat.Keadaan mental seseorang penagih dadah
sangat sukar untuk dipulihkan seperti sedia kala.Bertunjangkan lontaran fikiran
yang telah saya utarakan,kita dapat melihat sebab pengharaman dadah menurut Islam.Imam
Ahmad Bin Hanbal telah meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah S.A.W.
melarang segala sesuatu yang memabukkan dan mengkhayalkan.Justeru,jelaslah
kepada kita bahawa dadah boleh merosakkan kewarasan akal fikiran sekaligus
mengaburi kemuliaan diri sendiri sebagai manusia di muka bumi ini.
Hadirin
sekalian,
Penyalahgunaan dadah bukan sahaja membawa kesan buruk kepada penagih dadah itu
sendiri,malah juga kepada keluarga.Individu yang menagih dadah akan mengabaikan
tanggungjawab kepada keluarga.Mereka tidak akan menghiraukan keadaan di
sekeliling mereka termasuk keluarga sendiri.Akibatnya nilai-nilai kasih sayang
antara ahli keluarga akan semakin terhakis dan akhirnya keluarga akan
berpecah-belah.Selain itu,keluarga juga akan melalui tekanan yang
berat,konflik,dan kebimbangan kerana ingin melindungi ahli keluarga daripada
kemudaratan dan kerosakan yang dibawa oleh ahli keluarga yang terjerumus ke
dalam gejala dadah.Lebih teruk lagi,penyalahgunaan dadah akan lebih menjejaskan
golongan kanak-kanak dalam keluarga.Misalnya,ibu atau bapa yang ketagihan dadah
akan menyebabkan anak-anak terbiar.Anak-anak juga tidak akan dapat merasai
belaian kasih sayang dan dakapan mesra daripada ibu bapa
mereka.Akibatnya,mereka akan berasa terpinggir dan cenderung untuk melakukan
aktiviti yang tidak sihat.Hal ini sekaligus meranapkan harapan negara yang
beraspirasi untuk melahirkan generasi yang berwawasan.Walaupun institusi
keluarga merupakan agen sosial yang terkecil dalam masyarakat,namun impak
negatif yang diterima mampu menghancurkan sesebuah negara.Oleh itu,masalah yang
menjadi kudis dalam masyarakat ini tidak wajar dipandang enteng malah
sebaliknya perlu dibendung dengan segera.
Di Samping itu,jenayah akan terus bermaharajalela akibat penyalahgunaan
dadah.Masyarakat tidak lagi akan dapat menikmati suasana kehidupan yang harmoni
sekiranya dikelilingi manusia yang menjadi hamba kepada dadah.Individu yang
menagih dadah tidak akan dapat berhenti daripada menggunakan dadah dan akan
terus berusaha mencari dadah walau dengan apa cara sekalipun.Mereka sanggup
mencederakan orang lain asalkan mereka dapat memiliki dadah dan terus berada di
dalam dunia mereka sendiri.Banyak kes jenayah yang melibatkan penagih dadah
telah dilaporkan oleh pihak berkuasa.Jenayah seperti
merompak,mencuri,meragut,mahupun membunuh sanggup dilakukan oleh mereka.Lebih
menyedihkan lagi,ada anak yang sanggup membunuh ibu sendiri hanya semata-mata
kerana gagal mendapat wang untuk membeli dadah.Justeru,masalah yang dicetuskan
oleh penagih dadah ini menjadikan masyarakat terpaksa hidup dalam
ketakutan.Akibatnya masyarakat akan menjadi semakin mundur kerana tidak dapat
meluaskan horizon pemikiran dan bersatu ke arah membangunkan masyarakat.Oleh
itu,masalah penyalahgunaan dadah perlu turut diberi perhatian oleh masyarakat
supaya dapat membanteras dadah dalam masyarakat.
Hadirin
yang saya muliakan,
Pada masa yang sama,negara turut menerima implikasi yang negatif akibat
penyalahgunaan dadah.Kini,banyak pusat pemulihan penagih dadah yang telah
ditubuhkan di Malaysia.Sudah semestinya kerajaan telah memperuntukkan jumlah
wang yang sangat besar untuk membantu mereka yang telah terjebak ke dalam
gejala dadah supaya pulih daripada ketagihan dadah.Sememangnya sukar bagi penagih
dadah untuk melepaskan diri daripada belenggu dadah dan menjalani kehidupan
seperti biasa.Justeru,boleh dikatakan bahawa negara terpaksa memikul tugas yang
berat di samping menanggung kerugian kerana terpaksa mengeluarkan jumlah wang
yang sangat besar dalam usaha melahirkan negara yang bebas dadah.Selain
itu,negara juga akan kehilangan sumber tenaga kerja yang produktif.Sebagaimana
yang kita ketahui,seseorang yang ketagihan dadah tidak akan mempunyai rasa
tanggungjawab.Oleh itu,sudah pasti mereka tidak akan dapat memberikan komitmen
dalam melaksanakan tugas atau kerja yang telah diamanahkan kepada
mereka.Akhirnya,negara akan kekurangan tenaga kerja yang produktif yang pada
hakikatnya sangat diperlukan dalam membangunkan ekonomi negara.Justeru,jelaslah
kepada kita bahawa negara turut menerima impak negatif yang tercetus akibat
daripada penyalahgunaan dadah.
Akhir sekali,sememangnya banyak kesan buruk yang
dibawa oleh masalah penyalahgunaan dadah kepada individu,keluarga,masyarakat,mahupun
negara.Semua pihak sewajarnya berganding bahu bagi memastikan gejala ini dapat
dibendung agar tidak menjadi satu wabak yang terus bernanah dalam
masyarakat.Isu penyalahgunaan dadah ini sememangnya boleh ditangani andainya
terdapat sinergi daripada semua pihak kerana di mana ada kemahuan di situ ada
jalan.Sebagai anak bangsa yang menjadi aset penting dan kebanggaan negara,kita
seyogianya merealisasikan misi untuk mencipta peradaban baru yang sudah pasti
akan disanjung tinggi dan diagung-agungkan oleh masyarakat dunia.Ayuh,kita
bangkit bersama-sama ke arah hidup yang sejahtera tanpa terlibat dengan najis
dadah yang boleh mencemarkan diri,keluarga,dan bangsa.Jangan kita abaikan
peringatan Nabi Muhammad S.A.W. kepada umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan
dan menjauhi perkara yang boleh memberi kemudaratan.Walaupun usaha bagi
mencapai matlamat Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang
berbudaya penyayang,masyarakat yang berjiwa bebas daripada cengkaman anasir-anasir
jahat,tenteram,dan berkeyakinan hanyalah prakarsa kecil ke arah menangani
masalah sosial,namun natijahnya mampu mengembalikan imej dan jati diri sesebuah
bangsa itu sendiri.
Sekian,terima kasih.
Sekian,terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan