Sabtu, 14 Mac 2015

Cabaran Bahasa Melayu



SENARAI  KANDUNGAN

BIL     TAJUK                                                                                                     HALAMAN

1.0       PENGENALAN                                                                                                  4-5
                       
2.0       DEFINISI /KONSEP DIALEK SOSIAL                                                          5-8
           
3.0       CABARAN BAHASA MELAYU DARI PERSPEKTIF PENGGUNAAN     8- 11   
             BAHASA MELAYU
                                                                                    
4.0       RUMUSAN DAN SARANAN MENGEKALKAN IDENTITI BAHASA       11-16  
             MELAYU    



BIBLIOGRAFI                                                                                                                  21
                                                                                                 

PENGHARGAAN


PENGHARGAAN هتاكربو ىلاعت لا ةمحرو مكيلع ملسلا

Alhamdulillah hirrabbil’alamin, kami merafakkan sepenuh kesyukuran kehadrat ilahi dengan limpah dan kurnianya, dapat saya menyelesaikan tugasan kerja khusus ini dengan penuh jayanya. Kami menjulang sepenuh penghargaan kepada Pn.Senpagam a/p Gurusamy Pensyarah Pendidikan Bahasa (HBML34033) Linguistik dan Sosiolinguistik. Beliau juga banyak membantu kami sepanjang proses pembentukan tugasan ini berlaku. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya secara langsung atau tidak langsung sepanjang proses merealisasikan tugasan ini berjalan. Pelbagai ilmu yang dapat saya rungkai sepanjang kami menyiapkan tugasan ini. Sejajar dengan anjakan paradigma dalam era globalisasi ini, begitulah dominannya peranan mahasiswa khususnya bakal pendidik di negara ini untuk merungkai pelbagai ilmu pendidikan di muka bumi ini. Pada dewasa kini, pelbagai pembangunan dari segenap sudut begitu pesat terbina, begitulah jugaa pembangunan dalam bidang pendidikan. Justeru itu haruslah mahasiswa ini tergolong dalam orang yang sentiasa menyaingi peradaban zaman yang begitu hebat. Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap mutiara kata dari saya sebagai renung-renungan dan selamat beramal.



"Kesusahan tidak semuanya seksaan dan yang paling pahit itu bukan semuanya racun. Tetapi adakalanya lebih berguna daripada kesenangan yang terus-menerus"





PENGENALAN
Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian (studies) dan pengkajian (research) yang mengabungkan dua disiplin,iaitu sosiologi dan linguistik.Sosiolinguistik juga  didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Nama sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik disiplin yang meneliti bahasa. Salah satu perkara yang dihadapi oleh ahli-ahli bahasa ialah masalah bahasa itu sendiri. Masalah ini dengan langsungnya melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa.. Pada prinsipnya, sosiolinguistik mengkaji aspek-aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan penggunaan bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain, sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian antara bahasa dan masyarakat. Nik Safiah Karim (1992) Bahasa ialah cara yang digunakan oleh manusia untuk menyampaikan buah fikiran,perasaan dan hasrat melalui lambang-lambang yang dihasilkan secara sukarela.

Dimensi masyarakat bukan hanya memberi ‘makna’kepada bahasa tetapi menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. De Saussure (1961) telah menghuraikan konsep sosiolingustik ini dengan menyebutkan bahawa bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan,pewarisan harta peninggalan dan sebagainya. (Noriah Mohamed, 2003) Ragam-ragam bahasa ini bukan hanya dapat menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi juga memberi indikasi tentang situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan, topik, kaedah dan modus-modus penggunaan bahasa.

Sosiolinguistik merupakan sebahagian daripada kajian bahasa. Wackey (1982) pula berpandangan bahawa sosiolinguistik menuntut kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori bahasa serta kemungkinan kajian perhubungan antara kedua-duanya, iaitu perhubungan antara kategori sosial sebagai tingkah laku, budaya, etnik,pekerjaan, keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata,laras bahasa dan jenis bahasa. Hudson (1980) mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian tentang perhubungan antara bahasa dengan masyarakat.

Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai bahan sosiobudaya yang berhubung dengan aspek linguistik seperti perhubungan sosial yang berkaitan pula dengan kebudayaan, masyarakat, kumpulan sosial, bahasa, dialek dan bentuk gaya yang dibezakan oleh keperihalan taraf pemakai-pemakainya dan sebagainya (Arbak Othman, 1983).Walaupun demikian , sosiolinguistik bukan sekadar berkisar tentang disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja. Kajiannya juga melampaui dialek dan bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza yang disebabkan oleh perbezaan status individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting dalam sosiolinguistik ialah bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu.

Definisi Dan Konsep Dialek Sosial.

Dialek merupakan variasi bagi sesuatu bahasa. Variasi sesuatu bahasa berlaku akibat geografi, sosial, atau mungkin daripada tekanan sosial atau tekanan pemerintah .Variasi wujud bagi semua bahasa,tidak kira bahasa yang mempunyai kod atau yang tidak mempunyai kod; yang lisan sahaja atau yang lisan dan bertulis. Seperti mana seseorang penutur bahasa yang menggunakan dialek untuk berkomunikasi dan bersosial,bahasa mempunyai variasi tertentu dan penutur yang berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang lain akan menggunakan dialek tertentu. Mereka berada dalam zon selesa pada ketika itu..Bahasa Melayu mempunyai beberapa variasi atau dialek tersendiri dan dialek-dialek ini dituturkan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan di serata Nusantara.Dialek boleh dibahagi kepada tiga pecahan seperti berikut:

1)      Dialek Sosial ((Bahasa Jawa)
Dialek sosial juga dikenali sebagai sosiolek.Ia digunakan oleh kumpulan penutur mengikut kelas sosial.

2)      Dialek Daerah,( (Dialek Utara, Kelantan, Negeri Sembilan)
Dialek daerah ialah dialek yang dituturkan dalam satu-satu kawasan geografi.Misalnya,dialek Kelantan dan dialek Perak.

3)      Dialek Seketika. (Dialek zaman, seperti Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik, Bahasa Melayu moden dan sebagainya)
Dilihat dari sudut zaman.Penggunaan dialek mengikut perkembangan zaman adalah bahasa Melayu Kuno,bahasa Melayu Klasik,bahasa Melayu zaman Melaka,bahasa Melayu zaman Johor Lama,bahasa Melayu zaman pramoden dan bahasa Melayu zaman moden.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, dialek merupakan bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard meliputi loghat, pelat daerah .Dialek sosial kenali juga sebagai sosiolek. Dialek ini digunakan oleh sesuatu daerah atau kumpulan-kumpulan penutur mengikut kelas sosial dan kelainan bahasa yang dituturkan oleh ahli sesuatu kumpulan atau lapisan masyarakat. Contohnya, dalam masyarakat melayu wujudnya susun lapis sosial akan memberi maklumat tentang kedudukan seseorang. Sosial adalah segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat atau kemasyarakatan.

Dialek sosial boleh didefinisikan juga sebagai bahasa yang terhasil berdasarkan aspek penggunaan. Contohnya, bahasa baku, bahasa formal, bahasa tidak formal, bahasa halus, bahasa kasar, bahasa istana, bahasa pasar dan bahasa slanga. Bahasa Pasar ialah bentuk bahasa campuran yang berkait dengan bahasa pijin, iaitu bahasa yang dipermudah untuk proses komunikasi. Bahasa slanga pula adalah bahasa yang dipertuturkan golongan tertentu, khususnya remaja. Bahasa ini tidak rasmi, tidak baku, tidak kekal, istilah pupus setelah beberapa waktu, variasi rendah taraf daripada bahasa standard, kosa kata ada makna sendiri yang difahami golongan tertentu.

Seterusnya, sosiolinguistik boleh dijadikan panduan dalam berkomunikasi dan berinteraksi. Sosiolinguistik akan memberikan pedoman kepada kita dalam berkomunikasi dengan menunjukkan bahasa , ragam bahasa atau gaya bahasa apa yang harus kita gunakan semasa berbicara dengan orang tertentu.Contohnya, jika kita adalah anak dalam suatu keluarga, kita harus menggunakan ragam bahasa yang berbeza jika bercakap dengan ayah, ibu, kakak atau adik.Sosiolinguistik juga akan menunjukkan baga
imana kita harus berbicara bila kita berada dalam masjid, ruang perpustakaan atau di pasar.


Konsep Dialek
Berdasarkan kajian Abdul Hamid Mahmood dalam karyanya yang bertajuk Dialek Terengganu: satu tinjauan ringkas, memetik Ayatrohaedi, 1979:1 menyatakan istilah dialek berasal daripada Yunani iaitu dialektos yang pada mulanya digunakan dalam hubungan dengan  keadaan bahasa di tempat itu Sementara di Yunani terdapat perbezaan -perbezaan kecil di dalam bahasa yang digunakan oleh penduduknya masing -masing, tetapi sedemikian jauh hal tersebut tidak sampai menyebabkan mereka merasa mempunyai bahasa yang berbeza
.
Di samping itu Kamus Dewan ( 2005:348) mendefiniskan dialek sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat negeri dan lain -lain.Seterusnya Nik Safiah Karim ( 1993:27) menerusi Monograf Simposium Dialek mentakrifkan dialek sebagai variasi bahasa yang dibezakan mengikut penggunanya.Tiap-tiap dialek dialek mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dengan dialek -dialek yang lain.

Dialek sosial disebut juga sebagai laras bahasa (register) iaitu variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaan bahasa berkenaan. Faktor-faktor yang menentukan pemilihan dan penggunaan sesuatu dialek sosial:
1)      Taraf Pendidikan
            Orang yang berpendidikan tinggi menggunakan laras bahasa yang berbeza dengan    
            orang yang berpendidikan rendah
2)      Kedudukan Sosial
             Pada amnya bahasa Melayu terbahagi kepada dua kelas sosial iaitu bahasa istana     
             dan bahasa luar istana. Perbezaan wujud dari segi perbendaharaan kata.
Sementara aspek morfologi, sintaksis dan fonologi tidak banyak perbezaan.
1)                  Cara Penyampaian
Sesuatu situasi akan membezakan laras bahasa yang digunakan. Misalnya bahasa yang digunakan semasa ucapan dan pidato berbeza daripada bahasa yang digunakan  dalam perbualan suami isteri atau rakan sebaya.

2)                  Sikap Penutur
Peribadi seseorang dapat mempengaruhi cara pertuturan dan bentuk bahasa yang digunakannya. Seseorang yang angkuh dan kasar menggunakan bahasa yang berbeza dengan orang yang tenang dan sabar sifatnya.

3)                  Gangguan
Gangguan bahasa yang dimaksudkan ialah gangguan daripada bahasa ibunda dan dialek daerah. Laras bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang Cina berbeza dengan laras bahasa yang dituturkan oleh orang India kerana pengaruh bahasa ibunda mereka. Begitu juga laras bahasa Melayu standard yang diucapkan oleh orang Perak berbeza dengan laras bahasa Melayu standard yang diucapkan oleh orang Johor. Dengan ini kita dapat mengesan dialek daerah yang dikuasai oleh mereka.

4)                  Latar Belakang Keluarga dan Tempat Tinggal
Latar belakang sosioekonomi dan kawasan tempat tinggal seseorang mempengaruhi cara pertuturannya. Misalnya pertuturan orang kaya berbeza dengan orang miskin dan pertuturan orang bandar berbeza dengan pertuturan orang yang tinggal di kampung.


5)                  Fungsi-fungsi Sosial Perlakuan Bahasa
Perlakuan-perlakuan bahasa diperlukan kerana bahasa ialah sebahagian daripada perlakuan sosial. Dalam tiap-tiap situasi sosial terdapat penggunaan bahasa yang berlainan hasil interaksi orang-orang yang terlibat dalam perbualan dan peranan situasi-situasi tersebut dalam masyarakat. Misalnya terdapat kelainan bahasa untuk menghasilkan sesuatu maksud atau perasaan, memberi arahan, meminta dan sebagainya.

6)                  Hubungan Sosial dan Peribadi
Berbagai-bagai jenis perhubungan peribadi wujud daripada yang paling mesra seperti hubungan antara kaum keluarga hingga kepada yang formal seperti hubungan antara pekerja dan majikan. Hubungan yang tidak bersifat peribadi pula berbeza seperti penulis buku dengan pembaca buku. Hubungan yang seperti ini menghasilkan laras yang berbeza.

7)                  Bahan yang diperkatakan
Setiap bahan yang hendak diperkatakan menggunakan bahasa yang berlainan bergantung kepada isi yang hendak disampaikan. Aspek isi meliputi perkara-perkara biasa dalam kehidupan sehari-hari sehinggalah kepada bidang-bidang khusus yang memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu seperti bidang sains dan teknologi.

8)                  Aspek Linguistik
            Dialek sosial juga dipengaruhi oleh aspek-aspek linguistik seperti            
            tatabahasa dan kosa kata. Walaupun begitu perbezaan antara laras-laras   
            bahasa itu tidak terlalu jauh hingga boleh menimbulkan ketidak fahaman  
            antara penutur-penuturnya.

Menurut Nik Safiah Karim (1992), setiap individu mempunyai cara tersendiri; jenis bahasa yang digunakan oleh seseorang itu dipanggil idioleknya (parolenya). Idiolek berlaku kerana ada perbezaan pada alat sebutan antara individu dengan individu hingga ujaran yang sama, tetapi tidak serupa bunyinya. Sungguhpun dalam peredaran masa yang panjang dan penyebaran daerah yang luas, akan timbul perbezaan yang lebih nyata pada satu-satu bahasa, iaitu dari segi perbendaharaan kata, tatabahasa dan sebutan. Perbezaan ini mempunyai kaitan dengan daerah atau wilayah sehingga menimbulkan jenis-jenis bahasa yang tidak lagi bersifat sama atau variasi bahasa itu dikenali sebagai dialek.

Kenyataan ini bersesuaian dengan pendapat Za’ba (1951), dialek ialah keadaan sesuatu bahasa yang berlainan tentang bunyi sebutannya dan gaya suara menyebutnya dan terkadang ada juga tentang perkataannya, dan resaman bahasa dalam percakapannya, iaitu mengikut berlainan tempatan dan negeri, bukan lain-lain. Misalnya, daerah A menyebut [a] sementara daerah B menggunakan [é] bagi bunyi yang sama. Sehubungan dengan itu, David Crystal berpendapat bahawa "dialect is subdivisions of languages". Hal ini membawa maksud bahawa dialek adalah cabang daripada bahasa dan dialek juga berbeza dengan bahasa. Bahasa pula merupakan satu bentuk yang tegas dan mempunyai sistem atau peraturan yang ditetapkan oleh satu-satu masyarakat. Walaupun terdapat perbezaan antara dialek dan bahasa rasmi tetapi masih tidak tersimpang jauh antara dialek-dialek dalam sesuatu bahasa. Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, setiap penutur bahasa Melayu bertutur dalam dialek atau kelainan bahasa yang diperolehi sejak dia mulai belajar bertutur dan bahasa itu akan menjadi bahasa ibundanya atau bahasa pertama. Dengan ini, kita membuat hipotesis bahawa sekitaran geografi adalah faktor penentu bagi jenis dialek bagi seseorang penutur. Bagaimanapun, ada faktor penentu yang lain, iaitu faktor sekitaran.

Antara satu dialek dengan dialek lain seolah-olah terdapat satu sempadan atau garis pemisah kawasan yang membezakan antara satu dialek dengan yang lain dan garisan itu dikenali sebagai isoglos. Isoglos atau garis sempadan linguistik ialah garis pemisah antara satu dialek dengan dialek yang lain dalam satu bahasa. Garis pemisah tersebut tidak dapat ditentukan dengan jelas kerana wujud perhubungan yang berterusan antara pengguna bahasa yang tinggal bersempadan. Tambahan pula, batas kawasan dialek yang sedia ada tidaklah menetap buat selama-lamanya kerana kawasan itu boleh menyempit atau meluas berdasarkan hubungan perjiranannya dengan dialek-dialek atau bahasa-bahasa lain. Oleh itu, kajian ini menjelaskan penentuan kawasan-kawasan dialek yang ada di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Penentuan kawasan-kawasan itu boleh didasarkan pada ciri-ciri persamaan dan perbezaan antara dialek-dialek itu..Menurut Asmah Hj. Omar (1985), dialek-dialek bahasa Melayu terbahagi kepada tujuh kumpulan dialek.

CABARAN BAHASA MELAYU DARI PERSPEKTIF PENGGUNAAN BAHASA MELAYU MASA KINI.

Manakala cabaran pula ialah sesuatu iaitu unsur, atau faktor yang mencabar,menguji, kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Oleh itu cabaran bahasa Melayu dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu dalam menuju abad ke-21 atau dipanggil era globalisasi. Jadi, abad ke-21 atau lebih dikenali sebagai era globalisasi merupakan satu zaman yang penuh dengan cabaran terutama kedudukan bahasa Melayu di negara ini.Dalam Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan keistimewaannya berbanding bahasa lain dilindungi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Banyak fungsi dan peranan bahasa ini dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat Malaysia. Selain daripada menjadi bahasa rasmi dan bahasa perantaraan, bahasa Melayu juga menjadi faktor penyumbang utama ke arah perpaduan sejagat dan menjadi bahasa ilmu dalam bidang pendidikan. Seperti yang dapat dilihat sekarang, Bahasa Melayu merupakan satu-satunya bahasa yang difahami oleh seluruh rakyat Malaysia dan mempunyai kemampunan untuk menyatukan pemikiran seluruh rakyat. Walaupun bahasa telah menyumbangkan banyak kebaikan kepada negara, namun beberapa halangan timbul dalam usaha untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan ini.

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Menghadapi Abad ke 21

Namun, permulaan abad ke-20 merupakan era penjajahan Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi Semenanjung Tanah Melayu dan utara Borneo,Belanda bagi kepulauan Sumatera, Jawa,selatan Borneo,Sulawesi ,Meluku, Madura dan Bali, dan Sepanyol bagi kepulauan Filipina.[Prof.Dr.Hashim Hj. Musa,2009].Keadaan yang sedemikian telah menyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu bermulalah kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini. Dalam konteks ini, pihak penjajah telah memaksa menggunakan bahasa mereka sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan terhadap jajahan takluk mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai barulah bahasa Melayu telah dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan lingua franca di rantau ini

Menurut A. Azizi Deraman dalam makalahnya Bahasa Melayu Dan Cabaran Globalisasi, Dewan Bahasa 2007 menegaskan bahawa cabaran utama bahasa Melayu sebagai bahasa nasional adalah lemahnya sokongan, jagaan, kawalan, peneguhan dan penegasan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Tambah beliau lagi, wujudnya keserongan persepsi terhadap keperluan atau cara sesebuah negara memilih bahasa dan bahasa Inggeris dianggap mampu membawa kemajuan negara telah memusnahkan kemajuan dan keupayaan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu agung dengan sejarah yang dilakarnya bak sekian lama sehinggakan penjajah yang datang mengaut segala keuntungan tanah Melayu telah mematikan kagungan bahasa Melayu dengan membawa bahasanya. Untuk mengembalikan maruah bahasa Melayu yang kini semakin diheyak-henyak dari pelbagai penjuru. Justeru penulis tinggalkan sidang  pembaca sekalian dengan  beberapa persoalan berdasarkan  pandangan Aziz Deraman: 
(1)    Orang Melayu sendiri kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu.
(2)    Rakyat bukan Melayu belum semunya menjiwai bahasa Melayu.
(3)    Bahasa Inggeris terus dianggap superior.
(4)  Penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian yang mencetuskan tanggapan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap bahasa sangat unggul itu.

Antara halangan utama yang dilihat pada hari ini adalah persepsi masyarakat yang melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak maju dan tidak berdaya saing. Mereka sentiasa memandang enteng kepentingan bahasa ini dan lebih cenderung untuk menghormati penggunaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris sebagai penanda aras kehebatan sesebuah negara. Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa penting dan banyak kebaikannya terutama dalam hal komunikasi dan perhubungan luar serta pendidikan tinggi. Akan tetapi jika kita melihatnya dalam konteks dalam negara, bahasa Melayu ternyata mempunyai kepentingan yang lebih tinggi memandangkan ia adalah bahasa rasmi negara dan penggunaannya sentiasa diutamakan.

Bagi sesetengah institusi kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seperti Universiti Islam Antarabangsa disebabkan kepentingan lain yang boleh menyumbang kepada kemenjadian pelajar dan sumbangan terhadap negara. Mana-mana pihak yang fasih berbahasa asing tetapi tidak arif berbahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan keadaan diri mereka kerana bahasa Melayu merupakan identiti penting bagi seorang warganegara sebagaimana yang sering kita katakan sebagai bahasa jiwa bangsa. Tuntasnya, setiap usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu memandang aspek masyarakat ini kerana segala usaha tersebut tidak akan mencapai kejayaan jika masyarakat masih memandang bahasa Melayu menurut perspektif yang rendah.

Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

Pihak kerajaan semestinya memastikan kedudukan bahasa Melayu itu jelas-sejelasnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebarang dasar yang ingin diperkenalkan perlulah dikaji dengan lebih teliti sebelum diputuskan. Tidak dinafikan, kedudukan bahasa Melayu hari ini sudah terjejas, namun masih belum terlambat rasanya untuk pihak kerajaan mengukuhkannya kembali. Antara lain kerajaan haruslah memberi peluang kepada bahasa Melayu menjalankan fungsinya sebagai bahasa ilmu secara holistik. Tidak ada rugi sekiranya bahasa Melayu digunakan secara sepenuhnya dalam bidang ilmu di negara kita. Sejarah lampau membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dengan melahirkan pelbagai teknokrat dalam pelbagai bidang.

Kemuncak kepada keraguan bahasa Melayu ini direalisasikan dengan terlaksananya sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).  Pelaksanaan dasar ini yang mula dilaksanakan pada 2003 adalah sesuatu peristiwa yang cukup mengguris hati-hati para pejuang bahasa. Pelaksanaan PPSMI adalah output daripada polemik-polemik yang sekian lama membelenggu yang mana perasaan ketidakyakinan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa keilmuan dan bahasa sains teknologi tercerna melalui pelaksanaan PPSMI. Namun, pandangan ini lantas  disanggah oleh Prof. Dr James T. Collins dengan memberi penegasan bahawa kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah digunakan berpuluh tahun di Malaysia dan juga Indonesia tidak perlu dipersoalkan lagi. Malah beliau menambah, sejak 140 tahun bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa ilmu bukan sahaja orang Melayu malah orang asing.

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Kemajuan Teknologi Maklumat

Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi penggunaan bahasa teknologi maklumat. Sedia maklum, bahasa teknologi maklumat yang paling dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita seharusnya mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita haruslah berfikiran positif dan memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selain bahasa ibunda. negara Korea Selatan, dan Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari. dakah kita mampu menghadapi cabaran ini dan menidakkan penggunaan teknologi maklumat dalam arus pembangunan negara. Bagaimana dengan Jepun.? Negara mereka maju dalam teknologi maklumat, namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Perkara ini perlu kita renung dan fikir bersama.

Cabaran Bahasa Melayu Terhadap Sikap Penuturnya

Dalam usaha kita untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai ilmu pengetahuan, kita tidak menafikan bahawa cabaran bahasa Melayu pada masa kini tidak terhenti setakat di situ sahaja tetapi semakin mencabar terutama dalam usaha kita untuk membentes penggunaan bahasa Melayu bukan standard dan  bahasa Inggeris dalam  urusan-urusan rasmi khasnya urusan melibatkan jabatan-jabatan  kerajaan. Kita tidak menolak bahawa sikap yang masih menebal dalam kalangan sebilangan kecil kita  yang acuh tidak acuh dalam menggunakan bahasa Melayu standard  dan lebih parah lagi menggunakan  bahasa Inggeris. Mungkin berbangga bertutur dalam berbahasa Inggeris sepatah dua atau ingin menunjuk yang kita lebih pandai dalam bahasa tersebut perlulah dirujuk pada diri masing-masing. Kita bukan bersikap rasis terhadap bahasa Inggeris atau anti bahasa Inggeris.  Namun bagi mendukung bahasa Melayu sebagai rasmi negara yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Justeru, wajar untuk kita mengambil semangat ini dan meletakan bahasa Melayu pada kedudukan tertinggi.  Usaha ini perlulah diterjemahkan di dalam urusan seharian kita. Kita tidak menghalang sesiapa pun untuk bertutur atau menggunakan bahasa tersebut, tetapi perlulah bijak untuk melihat kepada suasana atau situasi wajar atau tidak untuk kita menggunakannya.

Cabaran Bahasa Melayu Dalam Penggunaan Bahasa Melayu

Belakangan ini, pada abad ke-21 beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi pertuturan,ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk berlaku ialah golongan remaja. Pada abad ke-21, sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Senario ini cukup membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan segera, sudah pasti keindahan bahasa Melayu tidak kedengaran atau berkumandang lagi. Manakala golongan remaja pula, penggunaan bahasa Melayu mereka cukup membahayakan dan boleh merosakkan nilai bahasa Melayu. Hal ini disebabkan kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit. Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan, mereka menggunakan bahasa rojak dan berlakulah kerancuan bahasa. Menurut Prof Dr. Hashim Hj. Musa, kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi sintaksis, morfologi, fonologi, kosa kata, istilah dan sebagainya, yang mengakibatkan kekacauan dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan, kosa kata dan istilah. Di sini , terdapat beberapa perkataan yang sering disalahgunakan semasa menghantar sms.Misalnya, perkataan-perkataan seperti kang (nanti), a’kum (assalamualaikum), w’lam (wa’alaikumsalam) dan sebagainya.

Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, kebanyakan pengacara majlis atau program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan sesuatu program atau rancangan, pengacara pada peringkat awal menggunakan bahasa Melayu. Namun, perkara yang sebaliknya telah berlaku iaitu dalam pertengahan program hingga akhir, pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penontonnya majoritinya berbangsa Melayu.

RUMUSAN DAN SARANAN MENGEKALKAN IDENTITI BAHASA MELAYU.

Bagi menterjemahkan hasrat negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited  di bawah pimpinan Prof.Dr. Awang Sarian telah mengambil pendekatan untuk melaksanakan audit bahasa bagi kesuma agensi kerajaan.  Pendekatan ini diambil oleh DBP adalah untuk memastikan agensi-agensi yang terlibat menggunakan bahasa Melayu dengan betul terutama dalam urusan rasmi. Langkah ini diambil oleh DBP disebabkan menyedari akan krisis serta cabaran bahasa Melayu yang kini semakin hebat dihambat dengan arus globalisasi. Jika elemen ini tidak dibendung dengan segara dengan langkah menyedarkan rakyat akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu standard dengan baik dan betul. Hal ini, adalah seiring dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam kerangka 152 perlembagaan Malaysia.

Oleh yang demikian, cabaran-cabaran seperti cabaran pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, cabaran bahasa Melayu dalam kemajuan teknologi maklumat , cabaran bahasa Melayu terhadap sikap penuturnya dan cabaran bahasa Melayu dalam penggunaan bahasa Melayu menjadi isu perbincangan dalam abad ke-21. Cabaran-cabaran ini terpaksa dilalui secara berhati-hati agar permasalahan yang sedikit akan memberi impak yang besar terhadap bahasa Melayu. Pada masa ini, pengaruh bahasa Inggeris begitu kuat dan dikenali sebagai bahasa antarabangsa.Untuk berhubung pada peringkat antarabangsa, bahasa Inggeris menjadi keutamaan.

Pendirian tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan komunikasi moden, termasuk bidang sains dan teknologi, adalah juga tidak benar. Korpus bahasa Melayu dari segi kemantapan sistem dalamannya, yakni ejaan, tulisan, kosa kata, istilah dan nahunya yang standard sudah lama melayakkannya menjadi bahasa moden.

Menerusi nasionalisme integral ini, dalam kes PPSMI, rakyat Malaysia perlu akur kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memperlihat, selain berkongsi keghairahan terhadapnya. Apatah lagi menentang dan mendesak dikembalikan PPSMI. Pada tahun 2010,, Tan Sri Muhiyidin Yasin,Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan bahasa Melayu kembali dominan dan diperkasa.Dalam konteks Dasar MBMMBI yang menggantikan PPSMI, falsafah nasionalisme integral yang boleh diserlahkan ialah rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa nasionaliti linguistik bahasa Melayu dan juga nasionaliti budaya etnik Melayu, adalah asas pembentukan negara bangsa dan negara Malaysia itu sendiri. Penerimaan ini perlu dilakukan atas nama kepentingan negara.

Penerimaan ini akan menjadikan bahasa dan budaya Melayu bukan sekadar lambang negara, malah lambang nasional yang bukan saja kuat, tetapi amat berkesan. Dengan ini, bahasa Melayu misalnya bukan saja memiliki kuasa untuk memupuk dan membentuk jati diri nasional. Tetapi ia juga menjadi alat penting lagi berwibawa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu itu memerlukan kegigihan dan kesungguhan. Manakala pendekatan untuk mengangkat dan mengembangkan bahasa Melayu memerlukan dynamisma, kreativiti dan inovasi dalam tindakan dan pelaksanaan. Ini kerana usaha memartabatkan bahasa Melayu itu adalah satu perjalanan melintasi zaman yang akan diteruskan dan diwarisi oleh generasi muda sekarang dan yang akan datang.Oleh yang demikian, masyarakat dan generasi muda hari ini tidak boleh menolak ke tepi penggunaan bahasa Melayu kerana ia merupakan identiti, jati diri dan kebanggaan bangsa. Mereka perlu mengangkat martabat bahasa Melayu ke suatu aras yang lebih tinggi. Malah dengan mendaulatkan bahasa Melayu ianya merupakan sebagai satu sumbangan besar untuk memperkasa dan mengekalkan identiti dan jati diri bangsa.

Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Laporan Razak pada tahun 1957 dan Laporan Rahman Talib tahun 1961, bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan berdaulat. Berdasarkan peruntukan tersebut, bahasa Melayu memiliki hak dan martabatnya dalam perlembagaan sementara bahasa-bahasa bagi kaum lain juga dipelihara dan tidak dinafikan haknya. Abdullah Hassan (1987) menyatakan, selepas 1969 kerajaan dengan lebih tegas menjadikan pembelajaran bahasa Malaysia lebih teratur. Langkah tersebut ialah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah- sekolah secara berperingkat-peringkat. Dalam mengejar arus globalisasi masa kini, elemen yang membantu kepada agenda pembinaan negara bangsa ini ialah sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya (Abu Hassan Othman, 1997).

Ditinjau sejarah lampau, sejak merdeka penggunaan Bahasa Melayu dikembangluaskan dengan kemunculan beberapa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sebagainya. Usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai tunjang negara bangsa dapat diperlihatkan dalam agenda politik melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu meletakkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai strategi utama. Dalam mengorak langkah ke alaf 21, bahasa Melayu kini perlu diperkasa. Ini kerana cabaran pada alaf ini begitu hebat. Masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Golongan muda khususnya mahasiswa perlu menjadi tulang belakang dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Bagi mengekalkan kewujudan bahasa khususnya bahasa Melayu, beberapa usaha telah dijalankan.  Sebagai contoh ialah “Program Gerakan Cintailah Bahasa Kita” yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 oleh Perdana Menteri Malaysia, bertujuan untuk membina kesedaran dan mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa di Malaysia.  Pelbagai kempen kesedaran bahasa telah dijalankan supaya masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu khususnya akan lebih menghargai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia.  Walaupun kita telah menempuh era yang baru, tidak bermakna bahasa yang kita gunakan juga baru.  Kita harus mengekalkan keaslian bahasa kita dalam negara mahu pun di luar negara.  Kita sebagai rakyat Malaysia harus bangga dengan bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian yang melambangkan identity sesebuah bangsa.  Misalnya, bahasa Melayu atau bahasa Malaysia digunakan oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.


Pengunaan Bahasa Melayu merupakan pengerak  pembangunan negara.Bahasa sememangnya merupakan alat atau elemen yang penting dalam memajukan tamadun manusia. Dalam erti kata yang lain, bahasa adalah alat budaya sesuatu bangsa. Tun Mahatir sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia pernah berkata bahawa “maju bangsa Melayu majulah Bahasa Melayu”. Konteks pengerak pembangunan negara yang dinyatakan disini ialah pembangunan negara daripada segi ekonomi, politik dan sosial.   Tetapi, bagaimana bahasa tersebut menunjukkan ianya pengerak pembangunan? Kita lihat sejarah perjuangan Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) dalam kajian Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa oleh Abdullah Hassan (Yang Dipertua Persatuan Penterjemah Malaysia). Leibniz merupakan seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman yang cuba mencari mengapa bangsa Jerman masih lagi mundur walaupun ekonominya berkembang dan negara Jerman kaya dengan pelbagai sumber. Perlembagaan Malaysia juga telah termaktub iaitu Pekara 152 menyatakan  bahawa bahasa yang dirujuk sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu.(Abdullah Sani,2007) Walhal, penggunaan bahasa Melayu telah diiktirafkan oleh dunia dan bahasa tersebut diterap dalam kursus di universiti luar negara. Maka, mengapa kita sebagai bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak sekian lama ingin menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.






(4026 patah perkataan)


















BIBLIOGRAFI
Abdullah Yusuf.(2014). Linguistik dan Sosiolinguistik.Kuala Lumpur:Open University   
     Malaysia.

Asmah Haji Omar.( 1985 ).Susur Galur Bahasa Melayu.Kuala Lumpur.Dewan bahasa dan   
     Pustaka.

Collins,J.T. (1989).Antologi kajian dialek Melayu. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan  
     Pustaka.

Hashim Hj. Musa. (2009). BBM 5203 Sosiolinguistik Lanjutan. Serdang: Universiti Putra  
     Malaysia.

Mohd RaÊin Shaari, Alias Mohd Yatim, & Abdullah Yusof. (2010). Penyelidikan bahasa    
     dan linguistic . Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Nik Safiah Karim. (1988).Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan pengajaran.Petaling Jaya:Fajar 
     Bakti.

Hassan Ahmad.(1995, November). Cabaran Dunia Berbahasa Melayu. Pelita Bahasa, 26-31.

A.Aziz Deraman.(Februari, 2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Dewan Bahasa,
     26-29.

Armin Azhari.(Mac, 2004). Cabaran Bahasa Melayu Sarwajagat. Dewan Bahasa, 5.

Sumber Artikel dari Internet
Rozali Rajab.(2011). Cabaran Bahasa Melayu Dalam Menghadapi Abad Ke-21. Retrieved Mac 13, 2013, from http://cikgu-rozali.blogspot.com/2011/06/cabaran-bahasa-melayu.html.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan